Selasa, 6 Jun 2017

Cabaran Malaysia berakhir



ARKIB : 12/11/2005
GUANGZHOU - Jaguh veteran negara, Wong Choong Hann dan Kuan Beng Hong gagal meneruskan Cabaran Malaysia pada kejohanan badminton Terbuka China selepas kedua-duanya tersingkir di suku akhir di sini, semalam.

Choong Hann, 28, gagal dalam usaha memburu kejuaraan antarabangsa pertamanya selepas hampir tiga tahun setelah tunduk 13-15, 13-15 kepada juara remaja dunia, Chen Jin dari China.

Naib juara Asia, Beng Hong pula hanya memberi tentangan lemah ketika mengaku kalah dengan mudah 4-15, 8-15 di tangan jaguh Denmark, Peter Gade-Christensen.

Kemenangan Chen Jin, 19, semalam berjaya menebus kekalahannya kepada Choong Hann ketika kedua-dua pemain itu bertemu kali terakhir di Terbuka Denmark, bulan lalu.

Pemain remaja sedang meningkat itu, yang terdahulu mengejutkan juara Eropah dan pilihan kedua, Kenneth Jonassen pada pusingan ketiga kelmarin mendahului saingan set pertama termasuk meninggalkan lawannya itu 7-1.

Set kedua bagaimanapun lebih sengit dengan kedua-dua pemain saling bertukar mendahului setiap kali memperoleh servis, bermula dengan Choong Hann 5-3 di depan, sebelum Chen Jin mengejar pada kedudukan 7-6.

Permainan bertambah sengit ketika kedua-dua pemain terikat 7-7 dan 8-8, namun Chen Jin berjaya menjarakkan kedudukan kepada 11-10, 13-10 sebelum akhirnya menang 15-13.

Pencapaian terbaik Choong Hann, juara Terbuka China 2002 sepanjang tahun ini hanyalah mara ke separuh akhir Seluruh England (Mac) dan Terbuka Denmark, bulan lalu.

Saingan suku akhir semalam turut menyaksikan kekalahan mengejut pemain nombor satu dunia, Lin Dan dari China kepada bekas pemain nombor satu dunia dan rakan senegara, Chen Hong. Lin Dan tewas 5-15, 8-15.

Chen Hong, 26, juara Seluruh England kini akan menentang Gade-Christensen di separuh akhir, manakala Chen Jin bertemu pemenang di antara Bao Chunlai dan Lee Hyun Il dari Korea Selatan.

Dalam saingan beregu lelaki dua pasangan Indonesia dan dua pasangan Denmark menguasai saingan separuh akhir.

Beregu nombor satu dunia, Candra Wijaya-Sigit Budiarto menempah pertemuan dengan Lars Paaske-Jonas Rasmussen manakala Luluk Hadiyanto-Alven Yulianto pula bertemu beregu nombor dua dunia, Jens Eriksen-Martin Lundgaard Hansen.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, pemain nombor satu negara, Lee Chong Wei menerima suntikan moral menjelang Sukan SEA di Manila hujung bulan ini apabila melonjak ke ranking kedua dunia yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF) semalam.

Ini merupakan pencapaian tertinggi buat juara Terbuka Denmark dan Malaysia itu selepas melonjak ke tangga ketiga dunia, minggu lalu.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1112&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4jElhIx82
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan