Ahad, 25 Jun 2017

Choong Hann isi slot pertama



ARKIB : 30/04/2006

SENDAI, Jepun - Pemain nombor dua dunia, Lee Chong Wei dan beregu senior, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah diketepikan daripada percaturan Malaysia apabila menentang England, halangan terakhirnya untuk layak ke suku akhir kejohanan badminton Piala Thomas, hari ini.

Sebaliknya, naib juara Asia 2005, Kuan Beng Hong mendapat kepercayaan untuk membuat penampilan sulung pada kejohanan berpasukan prestij itu, manakala beregu remaja, Koo Kien Keat dijangka kembali bergandingan dengan Chan Chong Ming.

Selepas mempamer aksi memberangsangkan pada perlawanan pertamanya kelmarin, bekas juara remaja dunia dua kali, Tan Boon Heong sekali lagi diberi peluang beraksi, tetapi untuk penampilan kedua ini, dia bakal bergandingan dengan pemain senior, Chew Choon Eng.

Dengan ketiadaan Chong Wei, jaguh veteran, Wong Choong Hann kembali mendapat peranan sebagai perseorangan pertama, kedudukan yang telah dipegangnya dalam beberapa Piala Thomas, manakala Muhammad Hafiz Hashim akan turun sebagai perseorangan kedua.

Perubahan dalam barisan pemain pada pertemuan dengan England adalah bagi mengelakkan Malaysia daripada mendedahkan kekuatan sebenarnya, namun ia tidak lari daripada misi utama, mencari kemenangan besar 5-0, sekali gus menempah tiket suku akhir selaku juara Kumpulan D, kata ketua jurulatih negara, Yap Kim Hock.

Kata Kim Hock, tindakan merehatkan Chong Wei dan beregu Tan Fook-Wan Wah tidak meresahkan pasukan negara yang dijangka masih mampu mengutip mata daripada mana-mana pemain yang diturunkan kerana England tidak beraksi dengan kekuatan sebenar selepas beberapa tonggak utamanya menarik diri pada saat akhir akibat kecederaan.

“Kami memutuskan untuk meletakkan Chong Hann sebagai perseorangan pertama kerana dia masih gagal mendapat sentuhan Piala Thomas dalam perlawanan sulung menentang Amerika Syarikat. Dia masih nampak gugup ketika berdepan dengan Eric Go dan jurulatih (Li Mao) mahu Choong Hann mendapat lebih banyak perlawanan.

“Chong Wei tampak sudah bersedia untuk menghadapi cabaran lebih besar selepas persembahan meyakinkan pada hari pertama, begitu juga Hafiz. Saya percaya Beng Hong juga sudah bersedia untuk membuat penampilan pertama Piala Thomas dan pertemuan dengan England boleh menjadi permulaan terbaik buat pemain itu,'' kata Kim Hock.

Menurut Kim Hock, pertemuan dengan England, yang kehilangan pasangan utamanya, Anthony Clark-Robert Blair akibat kecederaan lebih kepada untuk menguji keupayaan sebenar beregu negara pada ketika pemain-pemain perseorangan lelaki berada pada tahap yang cukup meyakinkan.

Katanya, kombinasi Chong Ming-Kien Keat perlu menstabilkan permainan mereka, manakala Boon Heong-Choon Eng harus menggunakan perlawanan ini untuk mencari keserasian andai kedua-duanya terpaksa digandingkan dalam keadaan “kecemasan” pada peringkat yang lebih kritikal.

England akan menurunkan pemain nombor 32 dunia dan juara Terbuka Croatia, Andrew Smith sebagai perseorangan pertamanya, manakala ketiadaan Clark, yang mengalami kecederaan bahu meninggalkan Ian Palethorpe-Kristian Roebuck turun sebagai beregu pertama, manakala Blair mungkin digandingkan dengan David Lindley.

- Utusan

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0430&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4l4wvZhDc
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan