Jumaat, 23 Jun 2017

Gelaran beregu milik Malaysi



 
ARKIB : 02/04/2006

Oleh: MOHD. FAIRUZ YUSOF
BEREGU muda negara, Tan Boon Heong (kiri) dan Hoon Thien How meraikan kemenangan ke atas pasangan Korea Selatan, Hwan Ji Man dan Jung Tae Keuk pada perlawanan separuh akhir Kejohanan Badminton Asia 2006 di Johor Bahru, semalam. Pasangan negara menang 21-19, 21-18. - Gambar ISHAK RAHMAD.

JOHOR BAHRU - Malaysia merangkul satu gelaran lebih awal apabila dua pasangan negara mara ke perlawanan akhir acara beregu pada Kejohanan Badminton Asia (ABC) yang berlangsung di Stadium Bandaraya Johor di sini, semalam.

Kegembiraan itu dikongsi bersama oleh pemain perseorangan, Lee Chong Wei yang juga pemenang pingat emas Sukan Komanwel di Melbourne minggu lalu apabila dia turut layak ke babak akhir.

Pasangan muda negara, Hoon Thien How-Tan Boon Heong mempamerkan aksi cemerlang apabila menumbangkan gandingan pemain Korea, Hwang Ji Man-Jung Tae Keuk 21-19, 21-18.

Kelmarin Thien How-Boon Heong melakukan kejutan dengan mengenepikan cabaran beregu utama Indonesia, Chandra Wijaya-Sigit Budiarto yang juga bekas juara dunia.

Kemenangan pasangan muda itu kemudiannya disusuli dengan kejayaan pasangan veteran, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah.

Tan Fook-Wan Wah menumbangkan satu lagi pasangan Indonesia, Luluk Hidiyanto-Yulianto Alvent Chandra 21-16 18-21 21-15.

Chong Wei semalam layak ke perlawanan akhir selepas menewaskan Park Sung Hwan dari Korea 21-15 21-15 untuk menempah aksi akhir menentang Boonsak Ponsana dari Thailand, yang menumbangkan Chen Yu dari China 24-22 21-13.

Ia pertemuan kedua Chong Wei menentang Boonsak selepas beraksi pada Sukan SEA di Manila, Disember lalu dengan kemenangan memihak kepada pemain Malaysia.

``Saya berharap dapat beraksi dengan baik esok (hari ini) kerana menganggap peluang tetap 50-50,'' katanya.

Chong Wei berkata, dia tidak meletakkan sebarang sasaran untuk menjuarai kejohanan ini sebaliknya bermain seperti biasa sepertimana kejohanan-kejohanan lain sebelum ini.

Menurut pemain itu lagi, dia kini semakin matang dan yakin dengan sistem kiraan 21 mata.

``Saya lebih yakin dengan sistem mata dan tahu tentang apa yang perlu dilakukan untuk memastikan kemenangan,'' katanya.

Bagi Boonsak, kejayaannya semalam begitu berharga kerana ia kali pertama dia layak ke perlawanan akhir kejohanan ini.

Walaupun tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk bergelar juara, Boonsak tetap mengharapkan aksi terbaik apabila berdepan dengan Chong Wei.

``Saya akan berusaha melakukan yang terbaik pada perlawanan akhir nanti,'' katanya yang mendapat sokongan penyokong Malaysia ketika menewaskan pemain China, Chen Yu.

Di sebalik kejayaan Chong Wei dan dua beregu negara menempah aksi akhir, gandingan Lim Pek Siah-Joanne Quay pula tersekat apabila tewas kepada Chan Wen Shing-Chien Yu Chin dari Taiwan 9-21 15-21.

Chan Wen Shing-Chien Yu Chin akan bertemu pasangan China, Yu Yang-Du Jing yang layak ke akhir selepas Pan Pan-Tian Qing juga dari China menarik diri daripada aksi separuh akhir berikutan kecederaan.

Dalam acara perseorangan wanita, Kaori Mori pula layak ke akhir selepas menewaskan Chen Li dari China 21-17 21-19.

Kaori akan bertemu Wang Chen dari Hong Kong, yang menewaskan Jiang Yanjia dari China 21-17 21-18.

Acara beregu campuran menyaksikan pasangan dari Indonesia, Nova Widianto-Liliyana Natsir layak ke akhir selepas menang mudah ke atas pasangan China, Zhang Wei-Yu Yang 21-19, 21-9.

Nova-Liliyana akan bertemu Prapakamol Sudket-Saralee Thoungthongkam dalam perlawanan akhir.

Pasangan dari Thailand itu menewaskan Hendri Kurniawan Saputra-Li Yujia dari Singapura 14-21 21-19 21-9.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0402&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4kq58lOnE
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan