Sabtu, 10 Jun 2017

Beregu kita naib juara


ARKIB : 23/01/2006

PASAGAN beregu Denmark, Jens Eriksen (atas, kiri) dan Martin Lundgaard tidak dapat menahan perasaan gembira selepas muncul juara menewaskan pasangan negara, Choong Tan Fook (bawah, kiri) dan Lee Wan Wah pada perlawanan akhir acara beregu Seluruh England, semalam. - AP.

KUALA LUMPUR - Choong Tan Fook-Lee Wan Wah gagal menamatkan penantian 24 tahun Malaysia apabila kecundang dalam perlawanan akhir beregu lelaki Kejohanan Badminton Seluruh England di Birmingham, semalam.

Pasangan senior negara itu dikecewakan buat kali kedua oleh beregu nombor dua dunia, Jens Eriksen-Martin Lundgaard Hansen 6-15, 17-14, 2-15 dalam perlawanan yang berlangsung selama satu jam, 11 minit di National Indoor Arena.

Ia mengulangi kekalahan Tan Fook-Wan Wah kepada beregu Denmark itu pada saingan akhir 2004, di mana mereka tewas 15-9, 13-15, 3-15. Malah, melebarkan rekod kekalahan kepada 2-4.

Dengan keputusan itu, pasangan adik-beradik, Razif Sidek-Jalani Sidek kekal sebagai beregu terakhir Malaysia menjuarai kejohanan badminton tertua dunia itu apabila menjuarai pada 1982.

Jurulatih beregu negara, Rexy Mainaky menyelar mutu pengadilan yang agak buruk sebagai faktor yang melemahkan semangat anak-anak buahnya terutama di set penentuan.

``Saya bukan hendak mencari alasan tetapi mutu pengadilan sama ada daripada pengadil perlawanan atau penjaga garisan amat mengecewakan kedua-dua pemain kita,'' kata jurulatih dari Indonesia itu.

``Saya lihat mutu pengadilan yang lemah sudah bermula daripada perlawanan separuh akhir lagi ketika Eriksen-Hansen menentang Gan Teik Chai dan Mohd. Zakry Latif.

``Bagaimanapun saya tidak sangka ia berlarutan hingga perlawanan akhir dan saya faham perasaan Tan Fook-Wan Wah apabila berdepan keadaan itu kerana saya juga pernah menjadi pemain seperti mereka,'' katanya lagi.

Semalam, Tan Fook-Wan Wah, yang mengejutkan beregu nombor satu dunia, Candra Wijaya-Sigit Budiarto dari Indonesia di pusingan ketiga memulakan perlawanan dengan ketinggalan 1-7 di set pertama sebelum tewas 5-15 dalam tempoh 21 minit.

Pasangan nombor 20 dunia itu, yang menyingkirkan beregu senegara, Mohd. Fairuzizuan Tazari-Lin Wun Fui di separuh akhir bagaimanapun bangkit pada set kedua, biarpun seketika ketinggalan sehingga 1-8.

Anak-anak buah Rexy itu menukar permainan kepada lebih pantas untuk mengejar 8-13, 13-13, 14-13 dan akhirnya menang 17-14.

Harapan untuk menyaksikan momentum kebangkitan Tan Fook-Wan Wah diteruskan pada set ketiga tidak kesampaian apabila mereka tewas mudah, 2-15 di set penentuan.

Kejayaan muncul naib juara Seluruh England membolehkan Tan Fook-Wan Wah membawa pulang AS$5,000 (RM18,850), manakala Eriksen-Hansen meraih AS$9,000 (RM33,930).

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0123&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4jc6ICz00
© Utusan Melayu (M) Bhd


Tiada ulasan:

Catat Ulasan