Jumaat, 23 Jun 2017

Detik gemilang Malaysia - Kejohanan Badminton Asia





ARKIB : 03/04/2006

Oleh Lukman Ismail
Lee Chong Wei... juara perseorangan badminton Asia di Johor Bahru.
 JOHOR BAHRU - Malaysia merangkul kejuaraan berganda pada Kejohanan Badminton Asia selepas Lee Chong Wei dan Choong Tan Fook-Lee Wan Wah menjuarai acara perseorangan dan beregu lelaki di Stadium Bandaraya, di sini semalam.

Choong Wei hanya mengambil masa 35 minit untuk menjadi pemain pertama Malaysia membawa pulang kejuaraan dalam tempoh 12 tahun dengan menewaskan Boonsak Ponsana dari Thailand 21-12, 21-16.

Beregu veteran Tan Fook-Wan Wah pula menumpaskan pasangan senegara dan bekas juara remaja dunia, Hoon Thien How-Tan Boon Heong 17-21, 21-11, 21-12 untuk memberikan gelaran pertama Malaysia sejak 1995.

Kemenangan Chong Wei, juara Sukan Komanwel dan pemain nombor dua dunia membolehkan kejuaraan Asia kembali ke Malaysia selepas kali terakhir Foo Kok Keong memenangi di Shanghai pada 1994.

Menampilkan permainan kemas dan meyakinkan di depan sokongan padu 5,000 penonton, Chong Wei yang juga pilihan utama hanya mendapat sedikit tentangan pada set kedua.

``Saya agak hilang keyakinan dan bersedia untuk beraksi di set ketiga selepas ketinggalan dari awal hingga mata kesembilan.

Yakin

``Bagaimanapun selepas berjaya menyamakan kedudukan 9-9, saya kembali yakin dan apabila mata terikat 15-15 saya mahu menamatkan permainan secepat mungkin,'' kata Chong Wei.

Bagi Boonsak, yang tewas kepada pemain nombor satu negara itu dalam pertemuan terakhir kedua-dua pemain di Sukan SEA Manila tahun lalu, aksi lebih mantap, terutama permainan di jaring memberi kelebihan kepada lawan.

``Saya banyak melakukan kesilapan dan pada masa yang sama dia (Chong Wei) bermain lebih baik,'' akui Boonsak.

Sementara itu, Tan Fook menyuarakan rasa kagum kepada pasangan Thien How-Boon Heong kerana keupayaan mengikuti rentak permainan mereka, terutama pada set pembukaan.

``Ia tidak penting sama ada anda pemain veteran atau pemain muda, tetapi sama ada anda kompetitif atau tidak,'' kata Tan Fook.

Tan Fook-Wan Wah turut menamatkan nasib malang Malaysia yang kali terakhir memenangi gelaran menerusi Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock pada 1995.

Dalam perseorangan wanita, Wang Chen dari Hong Kong berjaya mempertahankan gelaran apabila menundukkan Kaori Mori dari Jepun 21-14, 9-21, 21-13 untuk membawa pulang AS$8,625.

Beregu wanita pula menyaksikan Yu Yang-Du Jing dari China mengalahkan Chan Wen Shing-Chien Yu Chin dari Taiwan 21-11, 21-16 bagi membolehkan mereka meraih AS$7,650.

Gelaran beregu campuran pula milik pasangan nombor empat dunia, Nova Widianto-Liliyana Natsir dari Indonesia yang menundukkan juara bertahan Prapakamol Sudket-Saralee Thoungthongkam dari Thailand 21-16, 23-21, 21-15.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0403&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4kq6MqyuO
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan