Jumaat, 2 Jun 2017

Cabaran Malaysia berakhir



ARKIB : 22/08/2005
PEMAIN Indonesia, Taufik Hidayat (kiri) mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi dengan cuba meredakan kekecewaan Lee Chong Wei sebaik berjaya menewaskan pemain negara itu pada separuh akhir acara perseorangan lelaki di Kejohanan Badminton Dunia yang berlangsung di Anaheim, California, kelmarin. Taufik menang 15-3 15-12. - Gambar Reuters.

ANAHEIM, California - Hajat Malaysia untuk memiliki juara dunia pertama selepas 28 tahun menanti masih tidak kesampaian setelah dua pertaruhan utamanya, Lee Chong Wei dan pasangan Chan Chong Ming-Koo Kien Keat kandas pada separuh akhir Kejohanan Badminton Dunia di stadium tertutup Arrowhead Pond di sini, semalam.

Selepas 14 kali mencuba, sejak kejohanan diperkenalkan buat kali pertama di Malmo, Sweden pada 1977, hanya gelaran naib juara menjadi pencapaian terbaik Malaysia yang dilakukan oleh Wong Chong Hann dua tahun lalu, Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock (1997), Cheah Soon Kit-Soo Beng Kiang (1993) dan Razif Sidek-Jailani Sidek pada 1987.

Pemenang pingat emas Sukan Olimpik, Taufik Hidayat dari Indonesia menjadi pemusnah impian Chong Wei untuk menjejakkan kaki di final Kejohanan Dunia pertamanya apabila tunduk mudah 3-15, 12-15 dalam perlawanan yang hanya berlangsung selama 42 minit.

Juara dunia 1997 dan pasangan nombor dua dunia, Candra Wijaya-Sigit Budiarto dari Indonesia pula memberi pengajaran berguna kepada Chong Ming-Kien Keat ketika mengalahkan beregu muda negara itu 15-9, 15-11.

Kekecewaan pemain-pemain Malaysia semalam turut dikongsi bersama oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta isteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang hadir ke Arrowhead Pond untuk memberi sokongan.

Turut hadir adalah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman Said.

Semalam, kepincangan permainan Chong Wei mula terserlah sebaik dia menjejakkan kaki ke gelanggang apabila melakukan terlalu banyak kesilapan mudah dengan kerap menghantar bola ke baseline yang terlalu panjang untuk memberi mata percuma kepada la-wan.

Tindakan pengadil perlawanan untuk tidak membenarkannya mengelap peluh pada kedudukan 3-4 menganggu tumpuan juara Terbuka Malaysia itu apabila dia langsung tidak berganjak daripada tiga mata, malah membenarkan Taufik mengutip 11 mata daripada satu servis untuk kedudukan 3-14, sebelum tumpas 3-15.

Walaupun ketinggalan 1-6 pada set kedua, Chong Wei mula mempamer aksi meyakinkan pada pertengahan permainan apabila bangkit mengejar untuk menyamakan kedudukan 6-6, sebelum mendahului lawan dengan 8-6 dan 11-8.

Bagaimanapun, kesilapannya yang sering memberi peluang kepada Taufik untuk melakukan smash kencang memakan diri sendiri dan pemain Indonesia itu bijak menggunakan pengalamannya untuk mengejar kedudukan 11-9, 12-12 sebelum melakukan smash ke baseline yang tidak diangkat oleh Chong Wei kerana menyangkakan bola telah keluar.

``Ini adalah perlawanan paling besar dalam karier saya, ia merupakan pengalaman perlawanan akhir yang amat berguna kepada.

``Walaupun kurang gembira dengan tahap permainan yang ditunjukkan hari ini tetapi saya tetap gembira kerana berjaya sampai sehingga ke peringkat sekarang.

``Saya agak buntu pada set pertama dan tindakan pengadil tidak membenarkan permintaan saya untuk mengelap peluh tambah mengganggu tumpuan.

Mungkin saya juga harus belajar bagaimana hendak mengawal emosi selain daripada mengawal permainan,'' kata Chong Wei.

Taufik, 24, yang memburu kejuaraan dunia pertamanya selepas empat penampilan kini akan menentang pemain nombor satu dunia, Lin Dan dari China dalam perlawanan akhir hari ini. Lin Dan dipaksa mengharungi perlawanan satu jam 45 minit untuk mengetepikan jaguh Denmark, Peter Gade-Christensen 15-9, 13-15, 15-11.

Sementara itu, Chong Ming-Kien Keat tampak meyakinkan ketika memulakan saingan apabila mendahului 9-3. Namun, pengalaman yang dimiliki Candra-Sigit jelas membezakan permainan antara kedua-dua pasangan itu.

Selepas berjaya mengejar kedudukan 9-9, beregu veteran Indonesia itu bermain agresif sehingga dan memaksa pasangan negara untuk banyak bertahan sebelum menang 15-9.

Juara Terbuka Malaysia dan Singapura 2005 itu kemudian mendahului dari awal hingga akhir set kedua sebelum menang 15-11.

Candra-Sigit, beregu nombor dua dunia kini akan menentang pasangan sensasi Amerika Syarikat, Tony Gunawan-Howard Bach yang meneruskan siri kejutan pada Kejohanan Dunia apabila menumbangkan beregu nombor empat dunia, Luluk Hadiyanto-Alven Yulianto dari Indonesia 15-9, 15-13. Tony merupakan pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2000 ketika berpasangan dengan Candra mewakili Indonesia, malah dia juga adalah juara dunia 2001 di Seville, Sepanyol bergandingan dengan Halim Haryanto, juga mewakili Indonesia. - Utusan

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0822&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4is3wzjQt
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan