Isnin, 26 Jun 2017

Cabaran Malaysia berakhir



ARKIB : 10/06/2006
KUALA LUMPUR - Cabaran Malaysia pada kejohanan badminton Terbuka Singapura berakhir semalam selepas semua wakilnya kecundang pada peringkat suku akhir, diketuai dengan kekalahan juara Terbuka Filipina, Muhammad Hafiz Hashim.

Hasrat Hafiz untuk memburu kemenangan keduanya tahun ini tidak kesampaian apabila tumpas kepada jaguh China, dan pilihan keempat, Chen Hong.

Hafiz, 23, pilihan kelima kejohanan mensia-siakan kelebihan memenangi set pembukaan apabila tunduk 21-13, 14-21, 15-21 kepada juara Terbuka Singapura 2003, Chen Hong.

Terdahulu, cabaran Malaysia dalam perseorangan lelaki bermula dengan kekalahan Ismail Saman kepada rakan senegara Chen Hong dan pilihan ketiga, Bao Chunlai 11-21, 11-21.

Turut mengucapkan selamat tinggal kepada kejohanan lima bintang yang menawarkan AS$170,000 ini adalah beregu nombor dua negara, Chan Chong Ming-Koo Kien Keat.

Pemenang pingat emas Sukan Komanwel dan pilihan keempat kejohanan itu tumpas 19-21, 19-21 kepada gandingan baru Indonesia, Flandy Limpele-Sigit Budiarto.

Beregu muda negara dan juara remaja dunia dua kali, Hoon Thien How-Tan Boon Heong pula tumpas 10-21, 18-21 kepada pasangan dari Denmark, Jonas Rasmussen-Peter Steffensen.

Kekalahan pasukan Malaysia di Singapura semalam dilengkapkan dengan penyingkiran beregu wanita utamanya, Wong Pei Tty-Chin Eei Hu.

Pei Tty-Eei Hui, pilihan keempat memberi tentangan sengit pada set pertama sebelum tunduk 20-22, 15-21 kepada pasangan China dan pilihan ketujuh, Wei Yili-Zhang Yawen

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0610&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_11.htm#ixzz4lAcK68Hc
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan